Thursday, May 21, 2009

Fama Wujudkan Pasar Tani Kekal Di Setiap Negeri

SEREMBAN, 5 Mei (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah pasar tani kekal di setiap negeri dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Pengarah Kanan Fama (Pembangunan Usahawan) Abd Wahid Mat Radzi berkata pasar tani kekal ini adalah dalam bentuk bangunan bagi membolehkan peserta pasar tani berniaga pada setiap hari.

"Pada masa sekarang, kita telah mempunyai tiga pasar tani kekal iaitu di Jerantut, Pahang dan Bukit Gambir, Muar, yang telah siap dibina pada tahun lepas dan Yan, Gua Cempedak, Kedah yang dibuka 1 April lepas," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan pengerusi dan anggota jawatankuasa pasar tani Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Katanya di antara negeri yang telah pun mempunyai tapak pasar tani kekal ialah di Seremban, Negeri Sembilan; Jalan Datuk Halimah, Johor Baharu dan Saujana Utama, Shah Alam.

Fama sedang meneliti negeri-negeri lain dan berharap untuk mendapatkan tapak yang sesuai untuk dijadikan pasar tani kekal.

Katanya peserta pasar tani kekal ini terdiri daripada mereka yang berkebolehan dan berkemampuan yang tinggi serta mempunyai modal yang mencukupi bagi membolehkan mereka berniaga pada setiap hari.

Abd Wahid berkata sehingga kini terdapat 332 buah pasar tani di seluruh negara dengan 15,000 peserta termasuk 1,270 peserta di kalangan mahasiswa.

"Di sini kita lihat, kita telah memberi satu peluang pekerjaan kepada graduan kita yang melihat bahawa bidang perniagaan ini sebagai satu sumber pendapatan. Kita harap lebih ramai lagi graduan kita akan turut sama menyertai program ini (menjadi peserta pasar tani).

"Sebab itu dalam program kita, kita juga memanggil graduan ini untuk mengikuti kursus untuk merebut peluang pemasaran atau sama ada hendak berniaga atau pun hendak membuat aktiviti perniagaan lain. Fama akan memberi tumpuan kepada graduan yang berminat dalam bidang perniagaan ini," katanya.

Sementara itu, beliau juga berkata pada masa ini Fama mempunyai tiga pasar tani borong iaitu di Selayang yang melibatkan 53 orang peserta, di Puchong (41 orang peserta) dan di Yan, Gua Cempedak, Kedah (23 orang peserta).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment